NILAI HIDUP MENURUT ISLAM
Oleh : Drs. H
Hamzah MM
Mujahid Fathi Yakan di dalam kitabnya, Maza Ya’ni
Intima-i Li al-Islam, telah menyatakan bahawa di dunia terdapat tiga kategori
manusia.
Kategori
Pertama
Golongan yang hidup hanya untuk
dunia semata-mata. Mereka dinamakan
sebagai golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di
dalam al-Quran:
وَقَالُواْ إِنْ هِيَ إِلاَّ
حَيَاتُنَا الدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ
“Dan tentu akan mereka katakan: “Hidup hanyalah kehidupan
kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan”. -
Surah al-An’am: ayat 29
Dalam firman
Allah yang lain,
وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا
الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ وَمَا لَهُم بِذَلِكَ
مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ
“Dan mereka berkata: “Kehidupan
tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak
ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang
itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.”- Al Jatsiyah: ayat 24
Kategori Kedua
Golongan yang telah hilang pedoman,
terumbang ambing, aqidah bersimpang siur, mereka melakukan kesesatan dan
menyimpang dari jalan Allah SWT dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih
menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada
Allah SWT dan Hari Qiyamah tetapi aqidah mereka hanyalah gambaran semata-mata
yang terputus hubungan dengan aktivitas atau amalan hidup mereka. Mereka itu pada
hakikatnya berfahaman kebendaan (meterialis) walaupun kadangkala mereka
melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian.
Dalam satu
pembahasan kondisi manusia
saat ini kita perlu mengkaji
dari beberapa variable, :
Alienasi, Dehumanisasi, dan Westernisasi
Kategori
Ketiga
Golongan yang menganggap bahawa
dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat atau memungut hasilnya di
akhirat kelak.
Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah SWT. Mereka mengetahui hakikat
hidup serta memahami nilai dunia
berbanding dengan Hari Akhirah. Allah SWT membandingkan mereka seperti
dalam FirmanNya:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ
لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ
تَعْقِلُونَ
“Dan tidaklah kehidupan dunia ini
selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sungguhnya kampung
akhirat itu lebih baik bagi
orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya.” - Surah
al-An’am: ayat 32
Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia
sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaanNya.
Seluruh bidang hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran)
diarahkan kepada Jalan Allah SWT.
Bagi menjamin supaya urusan hidup ini terarah menurut
lunas-lunas Islam maka sewajarnya difahami dan dihayati beberapa kewajiban, iaitu:
1. Mengetahui
matlamat hidup. Sebagaimana Firman Allah SWT:
“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan
untuk mereka mengabdikan diri (kepadaKu).- Surah az-Zariyat: ayat 56
2. Mamahami
nilai dunia berbanding dengan nilai akhirat.
Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila
dikatakan kepada kamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu
berasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu ? Apakah kamu berpuas hati dengan
kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Pada hal kenikmatan hidup di
dunia ini (dibandingkan dengan akhirat) hanyalah sedikit.”- Surah at-Taubah:
ayat 38
3. Mengetahui
hakikat kematian dan mengambil pengajaran daripada kematian yang pasti berlaku
kepada setiap manusia sebagaimana Firman Allah SWT:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui mati.”
- Surah Ali ‘Imran: ayat 185
4. Mengetahui
benar-benar akan hakikat Din al-Islam dengan cara mempelajari dan mendalami
dasar-dasar dan hukum-hakamnya.
5. Mengetahui
hakikat jahiliyyah, iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan
perancangannya. Di samping itu, mendedahkan akibat serta keburukan Jahiliyah.
Dengan memahami Jahiliyyah barulah
orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya. Ini selaras
dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia
terselamat dari tipu daya mereka.”
Neraca Dalam Kehidupan
Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca
dan nilai syara’, dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai lain. Kabaikan dan
keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syara’ berdasarkan kaedah:
“Yang baik ialah
apa yang dipandang baik oleh syara dan yang buruk ialah apa yang
dipandang buruk oleh syara’.”
Terdapat banyak
perintah Allah yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syara’ dan melarang
daripada mengambil nilai yang lain daripada syara’. Antaranya Firman Allah SWT
:
“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat
(peraturan) daripaa urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah
kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.”
- Surah al-Jaatsiyah: ayat 18
Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada
Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat
sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadaNya).- Surah al-A’raf: ayat 3
“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang
mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan
apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada Taghut, pada
hal mereka telah diperintahkan agar mengingkari taghut itu. Dan syaitan
bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.”- Surah an-Nisa’: ayat 60
Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa
memilih dan berpaut kepada yang lain daripada nilai Islam adalah merupakan
kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan
menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut
sangkaan-sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap
Allah SWT).”- Surah al-An’am: ayat 116
“Dan adalah tidak patut bagi lelaki mu’min dan tidak
pula patut bagi perempuan mu’min, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkansesuatu
ketetapan akan ada pada mereka suatu pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.
Sesungguhnya sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia
telah sesat dengan kesesatan yang
nyata.”
- Surah al-Ahzab: ayat 36
Nilai Yang Tetap
Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak
berubah-ubah meskipun zaman beredar dan berubah. Dalam hal ini al-’Allamah Abu
al’Ala al-Maududi telah menyatakan dalam risalahnya, Ila AyySyai’ Yad’u
al-Islam, bahawa Allah SWT tidak semata-mata menurunkan undang-undang tertingi
(Supreme Law) melalui Rasul bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap
(Thabitah = Permanent Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al-Quran
dan sunnah Rasul itu adalah baik selama-lamanya. Demikian juga sebaliknya,
sesuatu yang ditetapkan buruk itu maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu
juga yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut
tidak boleh dipinda, ditambah, dikurangkan atau dihapuskan. Hanya yang berani
membuat pindaan dan pembatalan itu ialah
golongan atau jamaah yang melepaskan dan membebaskan diri daripada
Islam.
Hal yang sama juga telah
dihuraikan dengan panjang lebar oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya yang
sangat bernilai, Khasais at-Tasawwur al-Islami Wa Muqawamatuha, dalam satu
tajuk, Ath-Thabat (Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan sekiranya ketetapan
Allah SWT itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan demi kerosakan di
alam ini.
Firman Allah SWT:
“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka,
pasti binasalah langit dan bumi dan semua yang terdapat di dalamnya. Sebenarnya
Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (al-Quran) mereka tetapi
mereka berpaling daripada kebanggaan tersebut.” - Surah al-Mu’minun: ayat 71
Nilaian Allah
Islam telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu
sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan
keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam
dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam
FirmanNya:
“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh.”- Surah al-’Asr: ayat 1-3
Asy-Syahid Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini
telah menjelaskan bahawa Iman merupakan dasar hidup yang amat penting bagi
membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang hidup. Mana-mana
amalan yang tidak lahir daripada keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah
SWT. Allah SWT telah membuat perbandingan di dalam FirmanNya:
“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan
mereka seperti debu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang
berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang
mereka kerjakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” -
Surah Ibrahim: ayat 18
“Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka
adalah seumpama fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh yang
dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu
apapun.”
- Surah an-Nur: ayat 39
Amalan saleh itu adalah buah Iman. Iman itu hidup dan
bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak,
bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Ilahi. Ia tidak semata-mata
tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau
sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.
Untuk menyempurnakan tanggungjawab menurut sistem
Islam, maka perlulah kepada pembentukan Jama’ah Ummah Islamiyyah. Yakni, jamaah
yang ada kesedaran untuk bangun menghayati dan menegakkan Islam. Jamaah dimana
anggotanya pimpin-memimpin, bimbing-membimbing antara satu sama lain dalam
suasana ukhuwwah dan kasih sayang sejati kerana Allah SWT.
Hendaklah kita sedari bahawa memperkatakan yang hak itu
adalah suatu yang wajib, namun terpaksa menghadapi berbagai-bagai kesukaran
serta halangan. Din atau sistem Islam itu adalah hak (kebenaran) yang wajib
dibangunkan, tetapi ia tidak dapat tertegak melainkan di dalam kawalan jamaah
yang sudah terbentuk.
Sabar
Perlu juga diinsafi bahawa kerja-kerja menegakkan Iman,
amal saleh dan mengawal yang hak itu adalah kerja yang amat sukar bagi individu
dan jamaah. Maka ia memerlukan kepada
satu senjata, iaitu kesabaran. Yakni sabar dalam jihad sama ada jihad hawa
nafsu atau lain-lain, sabar menangung penderitaan dan kesukaran, sabar
menghadapi kemungkaran dan kema’siatan yang berleluasa, sabar melalui masa yang
panjang dan peningkatan yang lambat dan sabar untuk menuju matlamat yang jauh
di dalam perjuangan hidup ini. Hal ini memerlukan kepada jamaah yang mana
anggota-anggotanya hidup dalam ukhuwwah dan bimbing-membimbing dengan
kesabaran. Dalam suasana ini, barulah
sistem Islam boleh hidup subur dan menghasilkan buah-buah (natijah) yang baik
lagi bernilai.
Model jamaah yang tinggi dan agung telah lahir di Zaman
Rasulullah SAW dan para sahabat. Adalah perlu sekali kita mengambil contoh
teladan mereka dalam usaha kita membentuk jamaah kini. Generasi pertama
tersebut telah memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan
mereka menjadi ummat terbaik.
Berikut disenaraikan beberapa ciri yang terpenting
seperti yang dijelaskan oleh Al-’Allamah Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi
dalam kitabnya, Maza Khasira al-’Alam Bi Inhitat al-Muslimin. Rumusan beliau
ialah:
1. Mereka
berpegang teguh kepada Syariat Ilahi. Mereka sesekali tidak mencipta
undang-undang menurut hawa nafsu mereka.
2. Mereka
telah melalui proses Tarbiyyah (didikan) dan Tazkiyyah (pembersihan) jiwa dalam
jangka masa yang lama di bawah pimpinan Rasulullah SAW hingga lahir sifat-sifat
terpuji. Jawatan dan tugas disifatkan sebagai amanah dan ujian daripada Allah
SWT, bukan kemegahan atau kebanggaan.
3.
Perkhidmatan mereka Lillah (kerana Allah SWT), tidak kerana yang lain.
Mereka bekerja untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama makhluk
kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT semata-mata. Kemuliaan hanya bagi
orang-orang yang bertaqwa.
4. Mereka
membina tamaddun yang saleh meliputi kemajuan rohani, jasmani dan aqli. Semua bidang hidup dikuasai
oleh nilai dan akhlak Islam, meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan
politik.
Sehubungan dengan itu juga, Prof. Muhammad Qutb, pernah
menjelaskan bahawa dasar hidup mereka dibina di atas kata-kata Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“Mereka mengabdikan diri kepadaKu dan tidak
mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun.”- Surah an-Nur: ayat 55
Erti memperhambakan diri kepada Allah SWT itu, menurut
tafsirannya, ialah tetap berjalan di atas sistem peraturan Allah SWT. Inilah
manhaj yang diguna pakai oleh mereka dalam semua bidang kehidupan.
Demikianlah gambaran umum mengenai Jama’ah Islam yang
hidup menjunjung perintah-perintah Allah SWT yang disifatkan oleh Allah SWT
sebagai umat terbaik dan menjadi model untuk seluruh manusia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar